Sunday, February 28, 2010

24.. nanti 25 dan 26...


Assalamualaikum w.b.t...

Hari ni dah penghujung bulan Februari. Dah seminggu aku mula praktikal di sekolah sebagai seorang guru. Banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi walaupun baru seminggu aku bertugas di sekolah. Aku mesti bertahan sehingga tamat tempoh praktikal lagi sebelas minggu. Semangat mesti kuat..ye..semangat...itulah titik harapan akhir aku pada perjuangan selama 4 tahun untuk menggenggam segulung ijazah, insyaAllah bulan Oktober nanti.

Bila teringat pasal semangat, aku cuba teliti semula keadaan diriku. Petang tadi, aku sempat singgah ke A&W Restaurant bersebelahan stesen Petronas Persiaran Kayangan. Teringin nak minum air rootbeer yang ada float tu..sedap betul rasanya.. Aku menghayati seni hiasan dalaman restaurant tu sambil berdiri beratur untuk memesan makanan... Semuanya warna oren..dinding oren, kerusi meja warna oren..baju pekerja pun warna oren... Teringat pulak pada kawan aku, Asfaizah yang telah selamat bertunang semalam dengan buah hatinya.. Tema majlis dia pun ala-ala oren...(sorry As, takde niat nak samakan tema majlis awak dengan tema warna A&W..hehe..)

Bila tengok gambar kawan-kawan aku yang lain bertunang atau dah kahwin, hati aku terusik... Kadang-kadang datang juga perasaan cemburu pada mereka. Tapi cemburu aku bukanlah cemburu yang merosakkan..cumanya, aku cemburu bila melihat kawan-kawan aku dah ada pasangan hidup dan dah ada tunang yang bakal menjadi pasangan hidup mereka nanti. Tak seperti aku..yang hanya dirundung malang dalam hal berkasih sayang ni.. Kadang-kadang, bila fikir, sampai boleh menitis air mata ni....Ya Allah...

Sambil berdiri menunggu giliran kat kaunter, aku termenung lagi. Bila teringat umur aku dah masuk 24, dan masih takde kawan istimewa, aku tanya pada diri aku sendiri... "Masih nak macam ni lagi? Sampai bila? Macam tak laku je? Sekarang duk fikir lagi, nanti dah masuk 25, fikir lagi, dah 26 fikir lagi pasal pakwe, special boyfriend ..bla..bla..bla...." Arghhhhhhh.... macam-macam bermain dalam fikiran aku masa tu...sakit kepala aku dibuatnya....

Betul ke diri aku ni? Bukannya aku memilih sangat..cuma jiwa ni susah betul nak bertaut hati dengan seseorang...yang berkawan rapat, takde la sangat, yang kawan biasa-biasa ni ramai la jugak... Aku suka berkawan, so what? Bila aku suka kat sorang mamat tu, dia dah ada makwe... Bila ada mamat ni suka kat aku, aku buat biasa je..takde nak response balas...kesian kan? Kesian? Kat sape? Aku ke mamat tu? Mesti la kesian kat aku..sebab aku asyik tak dapat peluang yang betul-betul untuk aku rebut... Hai..nak cari pasangan hidup kena berebut jugak ke? Macam nak beli pisang goreng panas plak ye....

Bukan setakat aku cemburu pada kawan-kawan aku yang dah ada boyfriend, dengan kakak aku pun aku boleh cemburu..bukan ape, pakwe dia tu ambil berat sangat pasal kakak aku..jaga betul dia pada kakak aku.... Hmm..kualiti lelaki camtu la yang aku suka... Yang boleh susah senang sama-sama.. Baru la hidup tu ada give and take....

Kini, semangat aku untuk memikirkan tentang siapa yang aku cari dan pilih sebagai pasangan hidup, dah macam pudar...ntah la... Rasa macam dah penat nak mencari...lelah aku dalam perjalanan, mencari cinta seorang manusia bergelar lelaki...tapi, aku tak pernah lelah mencari cinta-Nya... Kerana aku yakin, janji Allah SWT adalah janji yang benar belaka, dan tak palsu..

Masa bercuti sempena Tahun Baru Cina baru-baru ni, aku ada berbincang dengan parents aku tentang masa depan dan pelajaran... abah banyak nasihatkan aku supaya tumpukan betul-betul pada latihan praktikum nanti... dan macam biasa, dia selalu berpesan supaya aku mengisi borang posting ke Terengganu.. Ntah macam mana, aku boleh ubah topik perbincangan... Mulut aku terpacul mengatakan yang aku ingin menyambung pengajian Master dalam bidang kaunseling!!

Abah dan ma terdiam sebentar..tak lama kemudian, abah mula bertanya itu dan ini pasal program Master tersebut.. Maka, makin rancak la perbincangan aku bersama parents aku pasal idea sambung belajar ni! Hahahaha....(patut ke aku ketawa??)

Malam tu, sebelum tidur, macam-macam yang aku fikir... sambung Master, kahwin, bertunang, hidup bujang, bebas..bla..bla...bla.... Hmm..mana satu ni??? Tapi, bila teringatkan semula diri aku yang selalu dirundung duka dalam hal kasih sayang ni, aku nekad nak sambung Master... Esoknya, aku mula survey dalam web UPM pasal pengajian siswazah... Alhamdulillah, jumpa. Ada maklumat yang aku tak faham, aku call Noh, sebab dia pun nak sambung Master lepas habis praktikum nanti... Bermula saat tu lah, aku membuat proses permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke satu peringkat lagi...

Semalam, aku dah siap print out borang lengkap pengajian Master. Cuma ada beberapa perkara perlu diuruskan sebelum submit pada Dean. Semalam juga, ada seorang sahabat jauh menelefon aku, dan bertanya khabar..pada dia juga aku bercerita panjang lebar tentang perancangan aku untuk melanjutkan pelajaran.... Alhamdulillah, dia banyak memberi sokongan..itulah yang dikatakan sokongan seorang kawan di saat kawan buntu dan memerlukan nasihat.

Harapan aku, bila aku dah nekad nak sambung pengajian ni, boleh la aku sedikit sebanyak melupakan kisah-kisah duka perhubungan lalu yang tak menjadi... Moga-moga ada hikmah yang terkandung disebalik segala kedukaan yang aku alami selama ini... Semangat dan fikiran aku kini, hanyalah untuk menamatkan pengajian ijazah, dan bersedia untuk menempuhi pengajian ilmu lebih tinggi..insyaAllah.. sekurang-kurangnya, abah dan ma dapat tersenyum puas bila melihat ada titik perubahan dalam diriku...

"Pendidikan dan ilmu, akan dapat menjaga diri seseorang"...itulah kata-kata yang dapat aku ingatkan pada diriku selama ini... Pada lelaki-lelaki di luar sana, sekiranya anda lah jodoh kepada saya, pasti tak kemana jodoh tu...cuma masanya belum sampai.... "Kadang-kadang, sinar yang kita rasakan baik untuk diri kita, disirami oleh hujan yang membawa duka...tapi kalau kita bersabar, mungkin Allah nak hadiahkan pelangi yang cantik pada kita...."

Senyum selalu!

La Tahzan...

Sabarlah sayang...


Mungkin

Biarkanlah saja diriku sendirian tanpamu
Biarkanlah aku merindu sekian lama
Bukan maksud untuk membisu sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian


Mungkinkah bersama dua jiwa ini
Dalam mencari cinta sejati nan suci
Mungkinkah segala derita di jiwa
Akan terubat kini

Biarkanlah saja diriku sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian


Hanya satu pintaku
Sabarlah menanti
Ku kan pulang bersama
Cinta...


Lagu nyanyian Anuar Zain ni, 'Mungkin' sesuai untuk menggambarkan isi hati aku sekarang ini... love this song..

Mudah-mudahan, suatu hari nanti, aku akan mendapatkan cinta dan berjaya menamatkan pengajian aku...dua kegembiraan akan datang... Amin...

Thursday, February 4, 2010

Petang...


Assalamualaikum w.b.t...

Hari ni dah masuk 4 Februari 2010...dah masuk bulan kedua..
Tak lama lagi aku akan berpraktikal di sekolah. Lokasinya, SMK Seksyen 9, Shah Alam. Tapi, bukan itu yang aku mahu coretkan di sini..

Menjelang hari demi hari sebelum aku tamatkan kursus intensif selama 7 minggu di UPM ini, aku banyak menghabiskan masa aku bersama rakan-rakan. Terutamanya waktu petang...

Aku cuba isi waktu petang aku kini dengan aktiviti bersama rakan-rakan sekuliah atau satu kolej. Caranya?? Ajak mereka jalan-jalan sekitar kawasan UPM, Seri Serdang, atau ke Putrajaya... Minggu lepas, Aishah ajak aku ke Bukit Ekspo. Syaratnya, kami jalan kaki ke sana...walaupun tak berapa jauh dari kolej, tapi berpeluh jugak la nak sampai ke Bukit Ekspo...

Sebenarnya, dah dua tahun aku tak berkunjung ke Bukit Ekspo ni..entah la..mungkin takde perkara menarik perhatian aku nak menjengah ke sini..kali terakhir aku ke Bukit Ekspo sewaktu ada Pesta Konvo UPM dan persembahan nasyid dari kumpulan Far East pada tahun 2007.. Pada perkiraannya, aku masih di semester tiga...sekarang dah semester lapan. Memang dah lama betul aku tak ke sini...

Aku dan Aishah menghayati panorama indah tumbuhan hijau sepanjang jalan menuju ke kawasan rekreasi terkenal di UPM ini...memang seronok.... Memandangkan kami sampai ke Bukit Ekspo telah lewat petang, maka tak lama la kami berada di situ.. Balik dari Bukit Ekspo, singgah di Putra Foodcourt, makan ais krim dengan Aishah. Gelagatnya manja saja dengan aku..macam dulu-dulu.. Tapi rasanya tak puas aku ke Bukit Ekspo bersama Aishah. Mungkin disebabkan waktu singkat, tak sempat nak hayati keindahan tempat tu...

Aku ubati semula kekecewaan tu pada hari Isnin lepas. Lepas pulang dari Alamanda, aku ajak Wanie ke Bukit Ekspo sekali lagi. Alhamdulillah, cuaca petang redup dan nyaman saja.. Kali ni aku bawa bekal, buah-buahan dan sebidang tikar...senang kami nak melepak kat bawah pokok mengadap tasik Bukit Ekspo tu lama-lama.... Angin dari tasik tersebut bertiup lembut... Sambil makan buah kiwi dan oren yang aku beli di Carrefour, kami bersembang pelbagai topik... Wanie seperti biasa, akan bawa kamera ke mana sahaja beliau pergi... Macam-macam gaya kami posing..bergambar sakan... :)

Teringat sewaktu semester lepas, aku ajak Wanie ke Taman Putra Perdana, Putrajaya... Kat situ pun kami berkelah sambil makan buah rambutan yang dipetik dari Ladang Buah UPM.. Kat situ pun kami bergambar sakan sampai waktu senja... Wanie sempat solat maghrib di Masjid Putra... Syahdu rasanya bila berada di dalam dan sekitar kawasan masjid yang tersergam indah itu...

Teringat juga waktu petang Selasa lepas, aku bersembang dengan Noh, adik-adik junior B&K dan Iskandar TESL di kawasan bangku berhampiran taman kaktus KC.. Kami bersembang topik posting di kawasan pedalaman.. Macam-macam cerita dan gelak ketawa yang menyulami perbualan kami... Noh cuba buat gaya Tok Batin andai kata terkena posting ke kawasan orang asli... Nak pecah perut kami asyik ketawa dengan gayanya tu... Semuanya dalam kenangan...

Hmm..kini, tinggal beberapa hari lagi sebelum aku akan check out dari Kolej Canselor dan berpindah ke Shah Alam.. Rindu semua kenangan yang telah berlaku di sekeliling aku... Menggunakan waktu petang dengan sebaiknya adalah matlamat aku dalam tempoh beberapa hari ni... Agar dapat aku kutip segala pengalaman pahit manis bersama rakan-rakan sebelum masing-masing akan membawa haluan ke sekolah nanti...

Miss u all, my friends...

Sunday, January 24, 2010

Duit oh Duit.....




Assalamualaikum wbt....

Minggu lepas, saya menghadiri taklimat Latihan Mengajar dan Praktikum Kaunseling di PKKSSAS UPM (Dewan besar) pada 14 Januari 2010. Banyak input yang sangat berguna telah diberi oleh ahli panel dalam slot forum pagi tersebut. Segala persoalan tentang penempatan guru sesudah tamat pengajian, dan pelbagai lagi, hampir terjawab semuanya.

Pada sesi petang, ada taklimat lengkap dan menyeluruh tentang latihan mengajar di sekolah untuk semua pelajar diploma dan ijazah pendidikan Fakulti Pengajian Pendidikan. Taklimat merangkumi keperluan seorang guru pelatih di sekolah, bahan dan alat bantu mengajar, rekod, dan cara bersosial dgn pihak pentadbiran dan guru-guru di sekolah yang bakal menjadi tempat praktikum kepada semua guru pelatih ini...

Sesi terakhir adalah slot penerangan mengenai duit zakat untuk pelajar oleh staf BHEP. Menurut pegawai BHEP yang membuat penerangan mengenai duit zakat, BHEP telah menerima permohonan duit zakat yang mendadak sejak pelajar pendidikan mula untuk berpraktikal pada bulan Januari dan Februari ini. Sedangkan, tiada istilah atau saluran yang disediakan oleh pihak zakat untuk membolehkan pelajar UPM memohon duit zakat untuk pergi berpraktikal. Tujuan asas duit zakat, adalah untuk membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

Namun begitu, atas rasa ihsan, pihak zakat UPM akan menimbangkan sebaik mungkin permohonan zakat oleh pelajar yang akan pergi berpraktikal. Hal ini mungkin disebabkan oleh kos sara hidup semasa berpraktikal akan meningkat satu hingga dua kali ganda kerana kegunaan duit untuk pelbagai keperluan. Sewa rumah, bil elektrik, air, pengangkutan, makan, minum dan sebagainya..

Memandangkan pelajar ijazah pendidikan ini tidak mendapat elaun apa-apa semasa berpraktikal, terpaksalah sebahagian daripada kami memohon bantuan duit zakat untuk meneruskan kehidupan semasa berpraktikal nanti. Nak mengharapkan duit PTPTN, memang takkan cukup....

Saya teringat cerita kakak saya suatu ketika dulu. Katanya, semasa dia belajar di UiTM dulu, ramai rakan-rakan beliau yang memohon duit zakat untuk menampung perbelanjaan harian. Yang menjadi persoalannya, pelajar UiTM, adalah antara pelajar yang banyak mendapat bahagian duit pinjaman MARA atau PTPTN..anggaran dalam satu semester melebihi RM2200...tidak seperti di IPTA lain..contohnya, di UPM, anggaran satu semester seorang pelajar hanya mendapat RM1500-1700 sahaja...

Apa yang kakak saya cuba sampaikan sebenarnya, majoriti pelajar-pelajar Melayu suka dengan duit bantuan yang diberikan tanpa memikirkan kesan yang akan datang. Pegawai BHEP yang menerangkan tentang duit zakat itu telah menegaskan bahawa duit zakat adalah duit suci... Maka, bukanlah sebarangan duit tersebut boleh digunakan tanpa ada sukatan yang betul...

Seringgit duit daripada zakat itu digunakan untuk menelefon kawan-kawan atau pakwe tanpa ada urusan pelajaran, sudah mendatangkan dosa. Sepuluh ringgit daripada duit zakat tersebut jika digunakan untuk membeli tiket wayang, sudah berdosa...apatah lagi jika ada dikalangan pelajar yang menggunakan duit tersebut untuk membeli handphone baru atau keperluan tidak sepatutnya...kenapa dikatakan berdosa??

Duit zakat adalah duit suci...duit yang dibayar oleh orang Muslim daripada hasil harta yang mereka kumpulkan selama ini..dan tujuan duit zakat itu sendiri adalah untuk meringankan beban orang yang kurang berkemampuan seperti fakir miskin dan saudara baru atau muallaf...seharusnya, duit zakat itu dijaga dari segi penggunaanya. Bukan untuk tujuan yang tidak kepada meringankan beban kewangan seseorang...Ya Allah...bukan mudah mengendalikan urusan duit zakat ini...tapi, ada dikalangan kita yang memandang remeh hal-hal sebegini....

Saya juga teringat kata-kata pensyarah saya dulu. Katanya, daripada bahagian duit gajinya itu, akan ada bahagian untuk orang lain. Dan bagaimana kita nak melihat bahagian untuk orang lain itu, adalah melalui zakat harta yang dibayar setiap tahun...maka, penyucian harta melalui pemgeluaran zakat itu, diharap dapat menghapuskan dosa-dosa yang berlaku sewaktu kerja-kerja hakiki dijalankan dan dapat meringankan beban insan-insan yang memerlukan bantuan diluar sana...

Pasti akan ada yang bertanya, apa dosa sewaktu kerja hakiki tu?? Ambil contoh ini, jika waktu kerja adalah pada jam 8 pagi, tetapi kita mulakan kerja jam 8.15 pagi. Di situ sudah berlaku kekhilafan masa dalam melaksanakan urusan kerja hakiki kita. Itu belum termasuk khilaf-khilaf yang berlaku dalam kerja-kerja lain. Oleh yang demikian, penyucian khilaf itu adalah melalui pembayaran zakat supaya kita rasa bersyukur dgn apa yang diterima dan apa yang disumbang dan dikongsi bersama dengan orang lain...

Sudah banyak yang saya dengar tentang duit zakat ini. Macam-macam ragam dan karenah yang telah dipertontonkan akibat salah guna duit zakat ini. Apa yang baik, ambillah sebagai contoh, apa yang kurang baik, eloklah dijauhkan.

Saya berpesan kepada diri saya dan rakan-rakan sekalian, terutamanya yang telah memohon duit zakat. Gunakanlah duit tersebut dengan sebaik mungkin, kerana setiap apa yang dibelanjakan akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan ke atas kita nanti.. Moga-moga kita mendapat keredhaan Allah dan barakah daripada penggunaan duit yang betul, akan memudahkan kita dalam urusan menuntut ilmu di menara gading ini. InsyaAllah...amin...

Apa yang baik yang saya tulis ini, ambillah pengajaran. Mana-mana bahagian yang kurang betul atau kurang tepat, haraplah kepada sesiapa untuk menegur saya kerana saya bukanlah ahli agama yang mahir untuk menerangkan bahagian duit zakat ini...

Wallahualam....

Saturday, January 9, 2010

Tugas cinta yang pertama ialah mendengar...


Assalamualaikum w.b.t....

Dah beberapa minggu aku tak menulis di blog sendiri...sibuk dengan jadual kuliah dan aturan hidup baru sebagai mahasiswa semester akhir ini...dah semester akhir rupanya aku ni...sekejap je masa berlalu.. Dah hampir 4 tahun aku mengabdikan diri di UPM ni untuk menuntut ilmu menjadi seorang kaunselor... Harapnya lepas ni, berbaloi la kerja dan perkhidmatan yang aku akan hulurkan dengan segala pengorbanan aku mencerna ilmu di menara gading ini...

Hmm..tajuk di atas, "Tugas cinta yang pertama ialah mendengar..."
Menarik jugak tajuk ni...
Bila kita bercinta, semuanya indah.. Namun begitu, faktor utama yang memainkan peranan dalam mengekalkan perhubungan cinta seorang lelaki dengan seorang wanita, sudah semestinya faktor komunikasi...

Mendengar adalah satu medium atau metod yang penting untuk mengekalkan perhubungan...
Maka sebab itu, tugas mendengar itu menjadi tugas pertama dalam perhubungan... Bagaimana mungkin seseorang itu dapat mencintai, menyanyangi atau mengasihi seseorang dalam hidupnya jika dia sendiri tak mahu mendengar apa yang cuba dikatakan oleh orang dicintainya....

Ambil contoh ini, jika seseorang sedang menonton televisyen (individu A), sedangkan kawannya (individu B) asyik bercerita tentang pengalaman yang dialaminya hari ini, apa yang akan berlaku?

1. Kawan A akan merasa serabut dengan cerita yang sedang rancak dihuraikan di telinganya oleh kawan B...akhirnya, dia tidak dapat fokus pada rancangan televisyen yang sedang ditonton...frust dan rasa nak marah...

2. Kawan B makin menguatkan suaranya apabila cerita yang sedang disampaikan kepada kawan A kurang diberi perhatian...atau mencuit-cuit kawan A supaya mendengar cerita kawan B... Akhirnya, kawan B dah penat nak kuatkan suara, dia diam...atau, akan cari remote control
televisyen dan terus matikan siaran tv....frust dan dan rasa nak marah....

3. Kemuncaknya, dua-dua akan rasa kecewa dan hampa apabila komunikasi mereka terhalang atau maksud yang cuba disampaikan tidak tercapai.... Bagaimana?


a) Kawan A tidak mengendahkan cerita kawan B dan menumpukan perhatian pada rancangan televisyen. Itu memberi maksud yang dia tidak mahu diganggu oleh kawan B yang mahu bercerita pengalamannya dan kawan A mahu menonton rancangan kegemarannya.

b) Apabila hal ini berlaku, kawan B yang tidak faham mesej yang cuba disampaikan oleh kawan A, akan menguatkan suaranya dengan harapan kawan A dapat mengalihkan perhatian untuk mendengar cerita daripada kawan B.
c) Mesej suara kuat daripada kawan B itu juga tidak dapat difahami oleh kawan A kerana tumpuannya hanya pada televisyen...

d) Akhirnya, mesej kemarahan kedua-dua individu akan terpamer apabila kawan B mematikan siaran televisyen....

e) Pada saat itulah mereka akan sedar, yang bahasa-bahasa secara tidak langsung mereka itu, kurang memberi kesan....

f) Jadi, mereka memerlukan kaedah lain untuk berkomunikasi... KOMUNIKASI DUA HALA.

Tips: Saling mendengar, saling memandang muka, dan saling merasa atau berempati dengan situasi, cerita yang disampaikan oleh orang lain kepada kita...


Itulah komunikasi yang berkesan.... :)




Kau Dan Aku

Mentari keemasan
Indah menyinar bumi
Burung bersiulan
Meniti pelangi

Ombak berlari-lari
Menyusur pantai impian
Membawa bersama
Misteri seribunya cinta

Engkau dan aku
Ada punya persamaan
Bagai alam diciptakan
Saling bergandingan
Berputik cinta asmara
Mekarnya berbunga
Menghiasi ruang taman hati ini
( Kau dan aku... )

Mentari di lautan
Warnanya berkilauan
Menyinari jiwa insan
Yang bercinta

Burung yang bersiulan
Berirama sungguh syahdu
Pastikan merestui
Cinta sucimu padaku




Layan lagu Ning Baizura ni...liriknya penuh makna (dedicate buat habib tersayang.. :)

Tuesday, December 15, 2009

Post-traumatic


Assalamualaikum w.b.t...

Hari ni dah 15 haribulan...rasanya kejap je cuti..dah nak abis sebelum aku pulang ke UPM minggu depan...

Semalam, aku mengikut parents aku ke rumah seorang ustaz untuk berubat keadaan diriku ini...
Dah 4 bulan berlalu selepas aku mengalami peristiwa yang menakutkan dalam hidup... Semuanya berlaku begitu pantas dan aku tak pasti sama ada ianya benar-benar berlaku pada diriku ini... Semuanya angkara perbuatan pukau...ya..pukau..satu perkara yang pelik, tapi benar dan wujud dalam masyarakat dan hal-hal berkaitan ghaib ini ada diterangkan di dalam Al-Quran...

Peristiwa yang berlaku pada diriku ini bukanlah sesuatu yang jarang didengari, namun bagi yang pernah merasa terkena pukau itu, pasti tak mampu menghadapi perasaan cemas yang melampau... Kini, kesan itu masih wujud pada diriku.. Walaupun sudah 4 bulan berlalu, aku masih risau untuk berjalan seorang diri ke mana-mana tempat yang dipenuhi oleh orang awam yang tidak aku kenali...

Kejadian itu berlaku sewaktu aku sedang berada di dalam komuter dari stesen Serdang menuju ke Kuala Lumpur dalam awal bulan Ogos....tren penuh sesak waktu tengahari Jumaat itu...kebetulan gerabak tengah yang aku naiki itu mengalami kerosakan air-cond, menyebabkan semua penumpang mengeluh, berpeluh-peluh dan sesak nafas...kali terakhir aku sempat melihat ke luar tingkap gerabak sebelum ingatan aku hilang dalam keadaan aku berjaga di tengah orang ramai begitu...

Fikiran aku melayang-layang...entah di mana aku berada sekarang...sehinggalah suatu ketika aku terasa ingin ke tandas... Aku mundar-mandir di suatu kawasan sebelum bertemu dengan arah ke sebuah tandas...masuk je ke dalam kawasan tandas, ku lihat ramai betul orang sedang beratur menunggu giliran masuk ke tandas... Aku bergerak ke arah sinki untuk membasuh muka yang ku rasakan berdebu...

Sebaik sahaja air menyinggap ke muka, aku rasakan seperti baru bangun dari tidur yang lena.. Walhal aku sedang berdiri dan berjaga... Ya Allah!! Kat mana aku ni?? Aku memandang sekeliling... Ini tandas awam di Hentian Bas Putra!! Apa aku buat kat sini?? Semua soalan, pertanyaan dan segala perasaan bercampur baur....aku mula hilang arah....kakiku cepat melangkah keluar dari tandas tersebut dan aku berlari menuruni tangga di belakang tandas....

Aku terduduk di situ dan mula menangis...perasaan aku keliru..aku cuba mengingati kembali apa yang telah berlaku dan bagaimana aku boleh sampai ke Hentian Putra ini... tubuhku rasa lemah longlai dan kepala aku bingung... Pipiku terasa sakit dan sengal... Aku mula memeriksa semua barang di dalam beg aku...handphone ada, baju ada, purse ada...aku buka purse..nah..duit semuanya lesap....cuma tinggal wang kertas RM1 di dalamnya.... Tanganku menggeletar....terus ku capai handphone dan ku lihat ada berpuluh-puluh miscall dan mesej dari nombor abah, mama dan kakak aku.... Tanpa berlengah, aku segera menghubungi kakak aku...terdengar suaranya di hujung talian mula memarahi aku kerana tidak menjawab panggilannya sejak beberapa jam yang lalu.... Aku tidak mampu berkata apa-apa...hanya tangisan aku makin lebat...kakak aku mula panik dan bertanya aku di mana...dengan daya upaya aku yang masih ada, aku bercakap tersekat-sekat di mana aku berada...kakak aku berpesan supaya aku jangan bergerak ke mana-mana dan tunggu dia sehingga dia datang kepada aku...

Dalam 15 minit kemudian, handphone aku berdering semula dan kakak aku mula bertanya aku berada di mana...saat aku bertemu dengan kakak, cepat-cepat dia mendapatkan aku dan memimpin tanganku ke arah kereta Abe (pakwe kakak aku)... Masuk sahaja dalam kereta, kakak aku mula bertanya itu dan ini dan dia mencadangkan aku supaya membuat laporan polis... Jalan di KL dalm jam 6 petang itu memang terlalu sibuk..semua orang nak balik ke rumah...kakak aku tidak dapat memikirkan lokasi balai polis paling hampir di sekitar hentian tersebut...puas dia call rakan sepejabat bertanyakan lokasi balai polis, tapi semuanya tidak tahu...Akhirnya, Abe segera memecut kereta balik ke Shah Alam melalui NKVE dan plan untuk membuat laporan polis di IPD Shah Alam Seksyen 11...

Aku terpana, diam...tidak berkata apa-apa sepanjang jalan balik ke Shah Alam...fikiran aku melayang, cuba mengingati semula peristiwa genting tadi..tapi semuanya kabur... Abah dan mama call..aku tak mampu untuk bercakap.. Mak su aku call, pun aku tak mampu bercakap apa-apa... Mak su aku mendesak kakak aku supaya medical check up segera dibuat pada diriku... Mak su aku risau jika ada apa-apa yang berlaku ke atas diriku... Kakak aku cuba bertanya pada diriku sama ada aku ingat atau tidak jika diriku ada diapa-apakan... Ya Allah... Alhamdulillah..aku selamat....

Selepas membuat laporan polis, kakak membawa aku makan, dan terus menghantar aku ke rumah Kak Zi kat seksyen 16...katanya, lebih selamat aku berada di rumah Kak Zi buat malam itu...aku akur saja....

Selepas peristiwa itu, aku mula rasakan kesannya... Aku tidak dapat berhadapan dengan orang ramai di tempat awam tanpa ditemani oleh kawan-kawan aku.... Dan ada satu keadaan atau simptom yang membuatkan aku terpaksa dikejarkan ke hospital sewaktu bulan Ramadhan lepas...aku tiba-tiba pengsan dan badan aku kaku sejuk seperti ais, terbaring di dalam bilik hostel....rakan-rakan menjadi panik dan dan terus menghubungi ambulans...disebabkan itu, doktor mula menjalankan beberapa ujian pada diriku..bimbang ada simptom serangan jantung mengejut...

Hingga kini, doktor masih tidak dapat mendignosis keadaan aku yang sebenar..tapi, dari ujian awal, mungkin ada kaitan dengan tekanan emosi atau post-traumatic yang aku alami dari peristiwa yang berlaku pada aku...

Bila aku pulang ke kampung, parents aku cuba membawa aku berubat kampung..bertemu dengan ustaz yang mungkin boleh mengatasi masalah trauma yang aku alami ini... Alhamdulillah... kesannya sudah boleh dirasakan... Namun begitu, aku kena rajin mengamalkan apa yang diajar oleh ustaz tersebut... Kena tingkatkan amalan zikir, baca Al-Quran....

Dalam minggu ini sebelumm aku pulang semula ke UPM, satu sesi berubat perlu aku jalani lagi sebelum aku benar-benar pulih dari keadaan trauma aku ini...

Buat parents dan ahli keluargaku, aku sayang kamu semua.. Terima kasih kerana telah banyak memberi sokongan pada diriku ini.. Buat kawan-kawan di UPM, terima kasih juga kerana memahami keadaan diri ini...dan terima kasih kerana banyak membantu dalam urusan seharianku...terima kasih...

Ya Allah, kuatkanlah hambaMu ini menerima ujian Mu ini... Semoga aku terus istiqamah dalam memperbaiki kesihatan aku ini supaya aku tidak lalai dalam terus mengingatiMu dan terus beribadah kepadaMu ya Allah.... Amin...

Wallahualam....